ALAT KEBESARAN
Peralatan-peralatan itu yang melambangkan kedaulatan Baginda
dan negara telah dicipta dan disesuaikan dengan alat kebesaran yang pernah
menjadi warisan kegemilangan Raja-raja Melayu pada zaman keagungannya dahulu.
Bagaimanapun, sesuai dengan fungsi dan kehormatannya,
alat-alat berkenaan hanya boleh digunakan pada upacara rasmi sahaja, dan untuk
kesekian kalinya, rakyat akan berpeluang menyaksikan penggunaannya pada
istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke-14, pada
11 April ini.
Antara alat-alat kebesaran itu ialah pakaian istiadat Yang
di-Pertuan Agong termasuk Muskat, Tengkolok, Pending, Keris Pendek, Gendik dan
Kalung. Muskat adalah pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong, yang berasal dari
Oman.
Pakaian rasmi ini mula digunakan pada 1960 semasa pertabalan
Yang di-Pertuan Agong ketiga yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Tunku
Abdul Rahman.
Pada kebiasaannya, baju itu dipakai bersekali dengan seluar
panjang bersulam di kaki dan tengkolok pada majlis-majlis sempena Hari Pertabalan
dan Hari Keputeraan serta semasa lawatan rasmi Baginda ke negeri-negeri di
seluruh Malaysia dan perasmian persidangan Parlimen.
Tengkolok yang turut dipakai pada hari pertabalan adalah
berwarna hitam bersulam benang emas. Soleknya dinamakan "Dendam Tak
Sudah" yang berasal dari Negeri Sembilan.
DIPERBUAT DARIPADA EMAS PUTIH
Di sebelah hadapan tengkolok itu dipasangkan anak bulan
dengan bintang pecah empat belas yang diperbuat daripada emas putih dan di
tengah-tengah bintang terletak lambang berwarna-warni kerajaan Malaysia.
Pending pula diperbuat daripada emas sepuluh mutu bertatah
dan bersulamkan permata delima dan di tengah-tengahnya tertera lambang Kerajaan
Persekutuan. Tali bengkungnya diperbuat daripada kain sakhlat bertekat
berbunga-bunga dengan benang emas.
Keris Pendek Diraja diperbuat daripada mata keris lama
dengan berhulu dan bersarungkan gading yang bertatahkan emas. Hulu keris ini
dinamakan "Hulu Pekaka" dan berupa kepala "Garuda".
Di sampir keris ini diterapkan dengan lambang Kerajaan
Persekutuan. Seperti Keris Panjang, ia hanya dipakai oleh Yang di-Pertuan
Agong.
Gendik Diraja adalah pakaian ulu (kepala) bagi Raja
Permaisuri Agong yang diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan
permata berlian berbunga awan larat. Di tengah-tengahnya, di atas awan larat
itu terdapat anak bulan dengan bintang, kedua-duanya diperbuat daripada emas
putih.
Gendik ini diperbuat khas supaya boleh dicerai menjadikannya
loket dan kerongsang.
Gendik ini dipakai oleh Raja Permaisuri Agong pada istiadat-istiadat
kebesaran diraja dan pada waktu Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.
Kalung Diraja ialah rantai leher yang dipakai oleh Raja
Permaisuri Agong yang diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan
permata berlian.
Kalung ini adalah sebahagian daripada pakaian kebesaran yang
dipakai Raja Permaisuri Agong dalam istiadat-istiadat kebesaran Diraja dan pada
waktu pertabalan Yang di-Pertuan Agong.
Kalung ini juga boleh dicerai menjadikannya sepasang subang,
kerongsang dan kerabu.
KERIS PANJANG
Peralatan kebesaran lain ialah Keris Panjang, Cogan Alam dan
Cogan Agama, Cokmar, Pedang, Keris Panjang dan Sundang, Payung Ubur-ubur Kuning
dan Tombak berambu.
Keris dan Keris Panjang Diraja adalah kebesaran Melayu yang
sangat dimuliakan dan utama dalam istiadat pertabalan.
Keris Panjang adalah Keris Kerajaan dan adalah tanda
kebesaran dan kekuasaan. Keris itu dari hulunya hingga ke sarungnya bersalut
dengan emas dan di atas sampirnya diterapkan lambang Kerajaan Persekutuan dan
lambang sebelas Negeri Tanah Melayu.
Matanya ditempa daripada besi waja yang diambil dari 11
bilah keris dari negeri-negeri. Hulu keris itu berbentuk "tapak kuda"
dengan hiasan motif buah jering dan digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong pada
istiadat-istiadat tertentu sahaja.
Cogan Alam adalah sebatang tongkat perak sepanjang 162.66
sentimeter yang di bahagian atasnya terletak satu bulatan yang di puncaknya
mengandungi ukiran anak bulan dan bintang daripada emas, manakala pada
sekeliling bulatan itu pula diterapkan lambang 11 Negeri Tanah Melayu daripada
emas.
Bulatan itu ditanggung oleh empat lembaga harimau yang
berdiri manakala tongkatnya dihiasi dengan motif enam tangkai padi daripada
emas.
Cogan Agama yang adalah sebatang tongkat perak sepanjang
155.04 sentimeter juga mempunyai satu bulatan di bahagian atasnya yang di
puncaknya mengandungi ukiran anak bulan dengan bintang pecah lima daripada
emas. Pada batang dan hulunya diterapkan dengan ayat-ayat suci Al-Quran.
ALAT PERANG ZAMAN SILAM
Satu lagi peralatan diraja ialah Cokmar iaitu dua batang
tongkat pendek yang hulunya berbentuk kubah. Ia adalah alat perang zaman silam
yang diperbuat daripada perak dengan masing-masing berukuran 81.32 sentimeter.
Pedang, Keris Panjang dan Sundang Diraja ialah tiga senjata
Melayu yang dijadikan sebahagian daripada alat kebesaran diraja iaitu diambil
daripada mata pedang panjang dan sundang zaman purbakala. Keris Panjang dan
Sundang bersalut dengan perak serta berukir-ukir di hulu dan sarungnya.
Peralatan Diraja yang turut memainkan peranan penting pada
istiadat-istiadat rasmi ialah 20 kaki Payung Ubur-ubur Kuning yang diperbuat
daripada kain sutera berwarna kuning diraja berpuncak anak bulan dan bintang
dan 20 batang Tombak Berambu berlok tiga yang diperbuat daripada tombak-tombak
pusaka dari 11 buah negeri di Semenanjung.