PILIHAN RAYA
16. Pilihan raya.
16.1. Pemerintahan Malaysia memaparkan amalan demokrasi
berparlimen dan raja berpelembagaan telah menjadikan pilihan raya sebagai
proses memilih wakil rakyat untuk memerintah sama ada pada peringkat negeri
atau persekutuan. Ini merupakan ciri penting sistem demokrasi berpalimen di
Malaysia.
16.2. Pemilihan ini dilakukan secara sulit dengan
menggunakan prosedur yang telus dan teratur.
16.3. Pengiraan undi dibuat secara terbuka dan keputusannya
direkodkan. Calon yang mendapat undi terbanyak dikira menang yang dikenali
dengan sistem majoriti mudah.
16.4. Pilihan raya di Malaysia dijalankan oleh Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) yang ditubuhkan untuk menjamin pilihan raya yang adil dan
bebas tanpa tekanan parti pemerintah atau pembangkang.
16.5 Keanggotaannya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong
selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja Melayu.
16.6. Tiga fungsi
utama SPR adalah menentukan sempadan bahagian-bahagian pilihan raya,
menjalankan pendaftaran pemilih dan mengendalikan pilihan raya sama ada pilihan
raya umum atau pilihan raya kecil.
16.7. Pilihan raya
umum diadakan untuk memilih ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri
secara serentak di seluruh Semenanjung Malaysia.
16.8. Di Sarawak
dan Sabah pula pilihan raya umum bagi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri
diadakan secara berasingan.
16.9. Pilihan raya
kecil diadakan apabila berlaku kekosongan kerusi di mana-mana kawasan Parlimen
atau Dewan Undangan Negeri. Kekosongan itu berlaku mungkin disebabkan hal-hal
tertentu seperti kematian, peletakan jawatan dan perlucutan jawatan.
16.10. Pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60
hari bagi Semenanjung Malaysia dan 90 hari bagi Sarawak dan Sabah selepas
kekosongan itu.
16.11 Warganegara
Malaysia bebas memilih dan menganggotai mana-mana parti politik yang mereka
gemari dan boleh menjadi calon dan bebas
untuk bertanding dalam pilihan raya.
16.12 Seseorang yang
ingin menjadi calon dalam pilihan raya mestilah warganegara Malaysia, berumur
21 tahun, bermastautin di Malaysia, sempurna akal, bukan orang yang muflis,
tidak memegang jawatan dalam perkhidmatan awam dan tidak disabitkan dengan
sesuatu kesalahan oleh mahkamah.
16.13. Seseorang warganegara akan hilang kelayakannya
sebagai ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri jika dihukum penjara tidak kurang daripada 12
bulan atau didenda tidak kurang daripada RM2000 dan belum mendapat pengampunan.
16.14. Calon-calon dalam sesuatu pilihan raya boleh
bertanding atas nama parti atau atas nama individu sebagai calon bebas.
16.15. Mereka harus mengemukakan kertas penamaan calon pada
hari penamaan calon.
16.16. Seseorang pengundi yang berkelayakan boleh mengundi
jika namanya didaftarkan dalam Senarai Daftar Pemilih.
16.17. Menurut perkara 119 Perlembagaan Malaysia, seseorang
warganegara yang berumur 21 tahun, bermastautin atau tidak bermastautin,
tinggal di mana-mana kawasan pilihan raya Dewan Rakyat atau Dewan Undangan
Negeri boleh mengundi dalam pilihan raya tersebut.
16.18. Seseorang pengundi hanya boleh mengundi dalam sebuah
kawasan pilihan raya sahaja.
16.19. Perlembagaan membenarkan anggota pasukan keselamatan,
pelajar di luar negara dan pegawai kerajaan yang bertugas di luar negara
mengundi melalui pos dengan syarat nama mereka terdaftar sebagai pengundi.
16.20. Di negara kita, sebelum proses pengundian dijalankan,
sama ada dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, calon daripada
pelbagai parti yang bertanding dibenarkan berkempen dalam tempoh berkempen
adalah antara tujuh hingga lima belas hari sahaja.
16.21 SPR telah
menubuhkan urus setia yang diketuai oleh seorang setiausaha yang berperanan
sebagai Ketua Eksekutif dan Ketua Pentadbir urus setia.
16.22 SPR dibantu
oleh sekumpulan kakitangan awam. Urus setia SPR diwajibkan mengikuti garis
panduan dan dasar SPR. Tujuannya untuk memastikan pilihan raya dijalankan
dengan efektif dan adil.